BeritaWaspada Ancaman Tanah Runtuh

January 4, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/07/DSC_0371-1280x859.jpg

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menasihatkan orang ramai supaya berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca buruk dan hujan lebat berterusan di kebanyakan negeri sekarang mampu mencetuskan bencana tanah runtuh.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan kawasan lebih berisiko adalah yang berbukit tinggi, bercerun dan laluan di mana sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

“Risiko tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat dalam skala kecil atau besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melalui Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) mendapati ada beberapa faktor boleh mengundang risiko berkenaan.

Shamsul Anuar berkata, ia adalah faktor geologi, sudut cerun, kawasan tadahan dan saliran, kerja pemotongan lereng bukit yang tidak terkawal dan pembersihan hutan atau ladang.

Bagi mengelakkan aktiviti seumpama itu, beliau berkata, penebangan pokok di kawasan hutan, khususnya Hutan Simpan Kekal dan kawasan dikategorikan kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, pihak kementerian melalui JMG meningkatkan tahap kerjasama dan khidmat sokongan kepada agensi pengurusan tindak balas bencana seperti Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah dan Negeri.

“JMG menempatkan pegawai bagi membantu agensi tindak balas seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR)dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pihak jabatan juga menggerakkan pasukan bertindak ke tempat kejadian tanah runtuh, khususnya di Bukit Fraser dan jalan lama Raub-Bentong bagi membuat penilaian risiko di lapangan.

“Di Bukit Fraser, sebanyak 139 runtuhan dikesan di sepanjang laluan naik dan turun dengan 60 runtuhan dilaporkan menghalang laluan,” katanya menambah, jalan lama Raub-Bentong setakat ini masih ditutup akibat kejadian berkenaan.

Katanya, pasukan bertindak JMG kini sedang membuat penilaian risiko di lapangan lokasi tanah runtuh terbabit.

“JMG juga menjalankan pemantauan tiga kali setahun bagi cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera, khususnya di Cameron Highlands dengan peruntukan sebanyak RM31.74 juta,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti lokasi pernah mengalami tanah runtuh supaya peka dengan keadaan sekeliling.

“Sekiranya terdapat tanda ancaman tanah runtuh seperti runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok yang berterusan condong, sila hubungi pihak berkuasa.

“Kementerian sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh,” katanya.

Sebarang maklumat atau laporan mengenai ancaman atau kejadian tanah runtuh boleh dibuat dengan menghubungi talian 05-5406000 atau 019-3894757.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/772148/waspada-ancaman-tanah-runtuh

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links