BeritaTeks Ucapan: Perasmian Webinar ABS Dan Pengetahuan Tradisi

December 18, 2020
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/12/toksam4.jpg

Teks Ucapan
YB. DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI

Perasmian WEBINAR ABS DAN PENGETAHUAN TRADISI SEMPENA PENGUATKUASAAN AKTA AKSES KEPADA SUMBER BIOLOGI DAN PERKONGSIAN FAEDAH 2017 [AKTA 795]
18 DISEMBER 2020

Bismillahirahmanirrahim.

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis.

Yang Berusaha Ahli-ahli Panel.

YBhg. Datuk/Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanawataala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama dalam Sesi Webinar ABS dan Pengetahuan Tradisi Sempena Penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kerana dapat meluangkan masa untuk menyertai sesi webinar ini.

2. Malaysia amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian biologi atau biodiversiti yang merupakan khazanah negara yang perlu dipelihara dan diuruskan secara bijaksana. Dalam bahasa mudah, sumber biologi ialah flora dan fauna termasuk mikroorganisma serta komponennya. Ia juga termasuk pengetahuan tradisi yang dimiliki oleh masyarakat peribumi dan komuniti tempatan secara turun-temurun untuk pelbagai tujuan seperti makanan, ubat-ubatan serta amalan pertanian dan penternakan.

3. Sepertimana hadirin sedia maklum, Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah atau Akta 795 telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2017. Pelaksanaan Akta 795 bertujuan untuk memastikan sumber biologi termasuk pengetahuan tradisi yang berkaitan dengan sumber biologi diakses dengan jaminan perkongsian faedah kepada negara dan komuniti yang terlibat. Pada masa yang sama, ia akan mengukuhkan bioprospecting atau pencarian sistematik sumber biologi dan pengetahuan tradisi untuk mengembangkan sumber genetik dan biokimia yang berharga kepada produk yang bernilai komersial.

4. Penggubalan Akta 795 juga menunjukkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa dalam menerima pakai Protokol Nagoya di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD). CBD mengiktiraf bahawa sumber biologi adalah hak mutlak sesebuah negara dan negara berhak mendapat faedah daripada penggunaannya. Manakala Protokol Nagoya menyediakan tatacara yang jelas mengenai Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah kepada pengguna dan pemberi sumber biologi.
Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Penguatkuasaan Akta 795 adalah untuk memastikan negara mendapat faedah apabila sumber biologi yang dijumpai di negara ini dikaji dan dibangunkan kepada produk yang mempunyai nilai. Ia sekaligus dapat membanteras biopiracy iaitu sumber biologi negara diambil dan dibangunkan tanpa izin sehingga negara tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya.

6. ABS boleh disamakan dengan pendekatan yang digunakan dalam usaha membanteras isu cetak rompak bagi sesuatu karya seni. Dalam ABS, prinsip ini digunapakai ke atas sumber biologi supaya hak negara tidak dirompak sesuka hati dan dihormati selaras dengan ketetapan CBD.

7. Penguatkuasaan Akta 795 penting kepada Malaysia yang merupakan antara 12 buah negara di dunia yang paling kaya dengan khazanah biodiversiti. Dianggarkan terdapat lebih daripada 15,000 spesies tumbuhan vaskular, 307 spesies mamalia, 785 spesies burung, 242 spesies amfibia, 567 spesies reptilia, 1,060 spesies rama-rama, 1,619 spesies ikan laut, 47 spesies mamalia marin dan 449 spesies ikan air tawar di negara ini.

8. Kekayaan ini berpotensi besar untuk pembangunan dan penciptaan produk baharu dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik. OECD pada tahun 2019 menganggarkan nilai biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di peringkat global adalah sebanyak USD125 trilion hingga USD140 trilion setiap tahun iaitu lebih daripada satu setengah kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

9. Penguatkuasaan Akta 795 boleh mendatangkan manfaat yang meliputi faedah kewangan dan bukan kewangan. Faedah kewangan termasuk royalti, fi bagi permit penyelidikan dan paten yang dihasilkan daripada pengkomersialan produk yang diperoleh daripada sumber biologi. Manakala faedah bukan kewangan pula antaranya termasuk perkongsian hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D); latihan melalui pertukaran penyelidikan dan penyelidikan kolaboratif; pemilikan bersama hak harta intelek; pemindahan teknologi; dan peningkatan infrastruktur penyelidikan; dan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

10. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menguatkuasakan Akta 795 termasuk mengadakan program pembangunan kapasiti, menyediakan Buku Panduan Pengguna ABS dan membangunkan sistem MyABS. Sistem MyABS merupakan Gerbang Aplikasi untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri dalam urusan permohonan permit serta melaksanakan kawalan dan pemantauan terhadap akses sumber biologi. Kementerian ini akan terus mempergiatkan inisiatif bagi membantu Pihak Berkuasa Negeri memperkasa pelaksanaan ABS di Malaysia.

11. Penganjuran webinar ini adalah tepat pada masanya bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai ABS. Saya berharap pelaksanaan ABS dapat diuar-uarkan kepada semua pihak supaya mereka mengetahui bahawa negara kita telah mempunyai undang-undang mengenai ABS. Bagi menyokong hasrat ini, saya ingin memaklumkan bahawa dana Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli (atau National Conservation Trust Fund – NCTF) boleh dimohon bagi menjalankan aktiviti Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) berkaitan ABS.

Hadirin yang dihormati sekalian,

12. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan webinar ini.

13. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini mengumumkan penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 pada hari ini bersamaan 18 Disember 2020 dan seterusnya merasmikan Sesi Webinar ABS dan Pengetahuan Tradisi, Buku Panduan Pengguna ABS dan sistem MyABS.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga dan Sumber Asli
Putrajaya
18 Disember 2020

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links