BeritaSistem e-Tanah Diperluas

January 29, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/03/142406527_3846805538674678_2306671495378135775_n.jpg

KUALA LUMPUR: Sistem e-Tanah akan diperluas ke beberapa negeri bagi memastikan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah lebih bersepadu di seluruh negara.

Kaedah itu bakal diguna pakai di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah serta Kelantan dalam jangka panjang.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kajian awal sedang dijalankan dengan mengambil kira kejayaan projek perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur pada Jun 2017.

Beliau berkata, penularan COVID-19 secara tidak langsung menuntut perubahan kepada norma kerja harian terutama perkhidmatan yang terbabit secara langsung dengan rakyat.

“Pelaksanaan sistem e-Tanah ini adalah bertepatan dengan keperluan semasa yang menggalakkan urusan secara dalam talian dan mengurangkan keperluan berurusan di kaunter secara bersemuka.

“Kementerian sentiasa komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dalam pentadbiran tanah sentiasa ditambah baik seiring perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, pengenalan sistem yang dibangunkan di bawah inisiatif kerjasama awam swasta itu adalah trajektori baharu dalam pendigitalan urusan pentadbiran kerajaan secara menyeluruh.

Selepas Kuala Lumpur, beliau berkata, Perak menyusul sebagai negeri kedua akan melaksanakan sistem e-Tanah selepas perjanjian konsesinya ditandatangani hari ini membabitkan kementeriannya, kerajaan negeri serta syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd.

“Sistem e-Tanah Perak ini dijangka bermula 11 Februari depan dan akan diguna pakai oleh semua pentadbiran tanah negeri bermula pada tarikh berkenaan.

“Melalui Sistem e-Tanah ini, orang awam yang berurusan di pentadbiran tanah negeri Perak akan dapat menikmati urusan transaksi tanah yang lebih lancar, telus, efektif dan mesra rakyat,” katanya.

Perjanjian konsesi Sistem e-Tanah Perak ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh mewakili kerajaan Persekutuan; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, mewakili kerajaan negeri dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor, mewakili syarikat konsesi.

Selain Shamsul Anuar, majlis menandatangani perjanjian secara maya itu turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Nigel Lee.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/781052/sistem-e-tanah-diperluas

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links