BeritaSistem e-Tanah Dilaksana Di Perak Bermula 11 Feb Ini

January 29, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/02/142351532_3846805712007994_3889538793247452761_n.jpg

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Sistem e-Tanah, iaitu aplikasi bersepadu yang dibangunkan untuk menjalankan urusan pentadbiran tanah secara elektronik, akan dilaksanakan di Perak bermula 11 Feb ini selepas kejayaan pelaksanaan projek pertama di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur pada 2017.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelaksanaan sistem itu adalah bertepatan dengan keperluan semasa yang menggalakkan urusan secara dalam talian dan mengurangkan keperluan berurusan di kaunter secara bersemuka.

‘’Kita dijangka sistem ini akan ‘Go-Live’ (ke udara secara langsung) dan akan diguna pakai pentadbiran tanah negeri bermula pada tarikh tersebut.

‘’Melalui Sistem e-Tanah ini, orang awam yang berurusan di pentadbiran tanah negeri Perak akan dapat menikmati urusan transaksi tanah lebih lancar, telus, efektif dan mesra rakyat,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Negeri Perak secara kerjasama awam swasta itu telah ditandatangani hari ini oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Datuk Zurinah Pawanteh yang mewakili Kerajaan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bagi pihak kerajaan negeri dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor selaku syarikat konsesi bagi projek berkenaan.

Majlis antara ketiga-tiga pihak itu berlangsung secara maya dengan disaksikan Shamsul Anuar .

Shamsul Anuar berkata, pelaksanaan sistem itu merupakan satu trajektori baharu dalam proses pendigitalan urusan pentadbiran kerajaan secara keseluruhannya dan merupakan projek Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah yang bersepadu di negeri Semenanjung Malaysia.

‘’Kementerian ini sentiasa komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dalam pentadbiran tanah sentiasa ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa.

Projek perintis telah terbukti dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan urusan tanah di Kuala Lumpur apabila ia digambarkan melalui kedudukan negara dalam ‘Ease of Doing Business’ yang dikeluarkan oleh World Bank, dengan pada tahun lepas Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2019,’’ katanya.

Beliau berkata sistem e-Tanah itu akan diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah. – BERNAMA

Sumber: https://umno-online.my/2021/01/29/sistem-e-tanah-dilaksana-di-perak-bermula-11-feb-ini/

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links