JulaiSambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2020

July 26, 2020

Teks Ucapan
SEMPENA SAMBUTAN HARI KONSERVASI EKOSISTEM HUTAN PAYA LAUT ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2020
PUSAT EKO PELAJARAN HUTAN PAYA LAUT MATANG, KUALA SEPETANG, PERAK.

Terima kasih Saudara/ri Pengacara Majlis

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Yang Berhormat Tuan Ali Biju
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli
YB Tuan Ahmad Saidi bin Mohamad Daud
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak
Yang Berbahagia Datuk Zurinah binti Pawanteh
Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Ridza bin Awang
Ketua Pengarah
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Zin bin Yusop
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak
Yang Berhormat Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak
Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan dan Negeri
Pengarah-Pengarah dan pegawai-pegawai Jabatan Perhutanan
Dif-dif Jemputan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak kerana telah sudi menjadi tuan rumah bagi Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2020 pada hari ini. Saya juga ingin mengalu-alukan dan merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tuan Ahmad Saidi bin Mohamad Daud Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada pagi ini.
YBhg. Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

2. Hutan paya laut merupakan ekosistem tropika yang amat unik. Ia menghubungkan tanah daratan dan hidupan di atasnya dengan laut. Ia berperanan sebagai zon penampan bagi melindungi masyarakat pesisiran pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang. Ia juga menyediakan satu ekosistem kepelbagaian biologi di kawasan tersebut yang sesuai bagi pembiakan hidupan marin yang menjadi punca pendapatan masyarakat tempatan. Hutan paya laut juga jika diuruskan dengan baik, berpotensi tinggi untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Salah satu peranan hutan paya laut yang amat penting adalah sebagai penyerap karbon biru atau lebih dikenali sebagai “blue carbon” yang amat efisien.

3. Hutan paya laut merupakan komponen tanah lembap yang kedua terbesar di Malaysia selepas hutan paya gambut. Berdasarkan penerbitan Mangrove Guidebook Southeast Asia, negara kita mempunyai kepelbagaian spesies bakau flora yang tinggi iaitu sebanyak 42 spesies telah dicatat daripada 52 spesies pokok bakau yang ada di Asia Tenggara.

4. Walaupun kepentingan menjaga ekosistem hutan paya laut adalah penting, namun hakikatnya ia merupakan salah satu daripada ekosistem yang paling terancam di dunia. Kadar kehilangan hutan paya laut adalah 3 hingga 5 kali lebih tinggi daripada kadar kehilangan hutan global. Ia disebabkan antara lainnya oleh pembangunan kawasan pesisir pantai, akuakultur, pertanian dan pencemaran yang tidak terkawal. Kehilangan kawasan hutan paya laut bukan sahaja akan memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat setempat terutamanya penduduk di pesisir pantai, tetapi ia juga menyebabkan kehilangan sumber penyerap karbon yang paling efisien.

5. Bagi mengiktiraf kepentingan hutan paya laut, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) telah mengisytiharkan tarikh 26 Julai setiap tahun sebagai “International Day for Conservation of the Mangrove Ecosystem” atau Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa.

YBhg. Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

6. Diperingkat Kerajaan Persekutuan, kita telah melaksanakan “Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara” sejak tahun 2005, iaitu selepas tragedi tsunami yang melanda negara pada 26 Disember 2004. Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat. Dikesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

7. Pada masa ini, Kawasan-Kawasan pesisiran pantai yang telah berjaya dipulihkan melalui aktiviti penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang bersesuaian di pesisiran pantai ini telah mula dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Kawasan Pantai Kuala Muda, Kedah; Pantai Senok, Bachok, Kelantan; Pantai Keluang, Besut, Terengganu; Sg. Baging, Kuantan, Pahang dan Jason Bay, Sedili, Johor sudah mula terkenal dan dipromosikan sebagai tapak pelancongan dan rekreasi oleh pihak Kerajaan Tempatan.

8. Sebagai contohnya, penanaman pokok rhu di Pantai Senok, Bachok, Kelantan telah menjadikan kawasan tersebut sebagai satu destinasi pelancongan yang terkenal dimana ia turut dikenali oleh pengunjung sebagai Pulau Nami Malaysia. Ia juga telah menjadi punca pendapatan kepada penduduk setempat yang menjual makanan, minuman dan lain-lain barang jualan kepada para pengunjung kawasan tersebut.

9. Dari segi penanaman pokok, sejak tahun 2005 sehingga Disember 2019, sebanyak 6.8 juta pokok telah ditanam oleh jabatan-jabatan perhutanan negeri termasuk dengan kerjasama orang awam dan NGO di bawah program ini melibatkan kawasan seluas 2,926 hektar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM56.4 juta.

10. Pada tahun ini, perancangan telah dibuat untuk memulihara kawasan hutan paya laut seluas 50 hektar di seluruh Malaysia. Selain itu, kawasan penanaman sedia ada seluas 38 hektar akan di selenggara bagi memastikan pokok-pokok yang ditanam dapat terus hidup. Kementerian juga akan terus komited dalam melaksanakan usaha ini di bawah RMKe-12.

11. Disamping program penanaman dan pemuliharaan, sebanyak 89 kajian berkaitan hutan paya laut telah dijalankan yang diterajui oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama institusi-institusi pengajian tinggi negara serta NGO-NGO.

12. Antara penghasilan kajian dan penyelidikan yang signifikan adalah pemuliharaan kawasan hutan paya laut di Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam melalui pengaplikasian kaedah inovatif iaitu pembangunan geotube. Melalui kajian ini, kawasan hutan paya laut seluas 2 hektar yang berisiko tinggi akibat hakisan pantai yang teruk telah berjaya dipulihara. Ini kerana geotube tersebut telah membantu meningkatkan kadar kehidupan pokok-pokok yang ditanam di kawasan tersebut. Dengan tertubuhnya kawasan hutan paya laut di kawasan tersebut, pelbagai spesies hidupan marin dan burung telah kembali ke kawasan tersebut yang telah menjadi punca pendapatan baharu masyarakat setempat.

YBhg. Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

13. Penglibatan NGO di bawah Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara adalah amat penting dalam menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat tempatan melalui pendekatan seperti aktiviti penanaman pokok, penubuhan nurseri anak pokok, pendidikan, latihan dan lain-lain aktiviti yang boleh disertai oleh masyarakat setempat. Selain itu, peranan NGO juga penting dalam usaha menggalakkan dan menarik lebih banyak penyertaan oleh sektor swasta dan individu untuk bersama-sama melindungi, memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai seluruh negara.

14. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan NGO-NGO yang terlibat di bawah program ini sejak awal dan telah menyumbang secara signifikan terhadap aspirasi Kementerian untuk memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut. NGO-NGO yang terlibat yang bergiat aktif adalah Global Environment Centre, World Wide Fund for Nature Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, Institut Rimbawan Malaysia, Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia, Malaysian Nature Society, Wetlands International, Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang, Rural Citizen Kedah, Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula, Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan, Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Setiu dan yang terkini menyertai kita iaitu Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak, Lembah Bujang.

15. Penglibatan NGO menjadi pelengkap kepada mekanisme pelaksanaan program ini melalui penglibatan aktif di lapangan bersama orang awam dan masyarakat setempat. Oleh yang demikian, pada hari ini, pengiktirafan akan diberikan kepada NGO-NGO yang bergiat aktif di bawah program ini sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan yang telah diberikan.

YBhg. Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

16. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dan bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2020 khususnya kepada Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

17. Sungguhpun sambutan pada hari ini dilaksanakan secara sederhana kerana kita masih lagi sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya merasakan sambutan ini adalah amat bermakna bagi kita untuk menunjukkan komitmen dalam memelihara dan memelihara hutan paya laut yang amat berharga buat kita.

18. Akhir kata, bersempena dengan sambutan ini, marilah kita bersama-sama menyayangi dan memelihara kawasan hutan paya laut. Adalah amat sedih sekiranya kita kehilangan kawasan hutan paya laut ini yang merupakan khazanah yang tiada gantinya.

Dengan lafaz bismillahirramanirrahim, sukacita saya merasmikan sambutan “Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.”

Sekian, terima kasih.
YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga dan Sumber Asli
26 Julai 2020

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links