JulaiPentingnya Ekosistem Hutan Paya Laut

July 24, 2021

Hutan Paya Laut (HPL) merupakan salah satu daripada tiga hutan utama yang terdapat di Malaysia selain daripada hutan darat dan hutan paya gambut.

Dirian HPL merupakan lapisan perlindungan semulajadi yang stabil, mencegah kemusnahan disebabkan hakisan tanah, pukulan ombak dan tiupan angin kencang; pemuliharaan habitat dan kepelbagaian biologi serta kawasan zon penampan yang kukuh dan stabil.

Di samping itu, hasil kajian penilaian karbon mendapati pokok bakau mampu menyimpan karbon atas tanah bagi pokok yang matang. HPL juga berkepentingan bagi penduduk pesisir yang tinggal berhampiran dengan pantai dari segi sosio-ekonomi daripada aktiviti perikanan serta pelancongan.

Pesisiran pantai negara ditumbuhi HPL berperanan sebagai lapisan zon semulajadi yang melindungi pesisir pantai, pemecah ombak dan meminimakan kesan kemusnahan akibat bencana tsunami serta hakisan pantai. Berdasar beberapa kajian di luar negara seperti di Bao, Vietnam dan Obikari National Forest, Jepun, kekuatan ombak tsunami dapat dikurangkan di kawasan pesisiran pantai yang terdapat dirian HPL.

Struktur dirian HPL di pesisiran pantai dan muara sungai yang terlindung amat penting kepada pelbagai hidupan marin. HPL mengekalkan kitaran biodiversiti hidupan dan berfungsi sebagai tempat penetasan pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan, udang, kerang dan siput. HPL juga penting bagi spesies burung tempatan dan burung hijrah.

Pokok-pokok di HPL menyimpan karbon di dalam sedimen atau tanah berlumpur melalui daun, ranting dan propagul (buah). Karbon juga tersimpan dalam sedimen dan kekal bertahun-tahun dengan sejumlah kecil karbon sahaja yang akan dilepaskan sekiranya tumbuhan itu mati. Penyerapan dan penyimpanan karbon di HPL dikenali sebagai karbon biru (blue carbon), iaitu karbon yang diserap oleh ekosistem pantai dan laut.

Ekosistem di pesisiran pantai negara khususnya HPL memainkan peranan yang sangat penting kepada penduduk setempat dari segi sosio-ekonomi dalam penjanaan pendapatan hasil dari sumber semula jadi. Kajian di Selabat Mudflat Nature Reserve (SMNR), Sarawak mendapati sumber utama ekonomi masyarakat setempat adalah hasil produk perikanan seperti ketam nipah (Scylla serrata), siput sedut (Cerithidea obtuse), pahat/ambal (Ensis arcuatus) serta pelbagai spesies ikan.

Selain itu, ekosistem pesisiran pantai juga berupaya untuk meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong serta menambah punca hasil dan pendapatan kepada penduduk setempat dan kepada kerajaan tempatan.

Info: Tariq Mubarak Husin, Syaierah Abdullah & Hyrul Izwan Mohd Husin
Foto: Cawangan Silvikultur Hutan, Program Hutan Asli & Program Geoinformasi, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM

#SambutanHariKonservasiEkosistemHutanPayaLaut2021
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
#100jutapokok
#MenangBersama
#LindungDiriLindungSemua

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links