BeritaPelan Transformasi Industri Mineral Negara Dipersetujui MMN

February 16, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/06/DSC0231-1280x850.jpg

PUTRAJAYA: Majlis Mineral Negara (MMN) dalam mesyuarat pertamanya hari ini, bersetuju dengan cadangan kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) sebagai agenda baharu pembangunan industri mineral di negara ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pelan itu bertujuan membangunkan industri mineral secara menyeluruh dan bersepadu, melalui transformasi di setiap peringkat rantaian nilai iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

“Ia bagi memastikan industri mineral dapat dibangunkan secara menyeluruh dan memberi pulangan jangka panjang serta sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung secara maya itu dipengerusikan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selain dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Ia mesyuarat pertama yang diadakan selepas Kabinet bersetuju ia diwujudkan semula pada 28 Ogos lalu, sebagai platform utama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membincangkan isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral dalam usaha mewujudkan perlombongan mampan.

Sebelum ini MMN pernah ditubuhkan menerusi keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Disember 1998, namun pada 2009 ia digabungkan dengan Majlis Tanah Negara (MTN) berdasarkan kepada isu tanah dan perlombongan yang saling berkait rapat.

Shamsul berkata, MMN juga berperanan memantau pelaksanaan TIM 2021-2030.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dokumen prosedur operasi standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit dan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.

“SOP ini akan dijadikan sebagai rujukan dan panduan oleh pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi persekutuan dan negeri, penggiat industri, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

“MMN juga dimaklumkan berkenaan cadangan pengezonan kawasan yang berpotensi untuk perlombongan dan perkuarian dalam proses perancangan fizikal negara,” katanya.

Shamsul berkata, aktiviti pemetaan sumber mineral akan mengambil kira status tanah dan pembangunan di sekitar kawasan terbabit bagi mendapatkan maklumat tepat kawasan yang mempunyai nilai mineral yang ekonomik untuk dilombong, selain membolehkan pihak berkuasa negeri mewartakan zon perlombongan di dalam Pelan Struktur Negeri masing-masing.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786903/pelan-transformasi-industri-mineral-negara-dipersetujui-mmn

UMNO Online: https://umno-online.my/2021/02/16/pelan-transformasi-industri-mineral-dipersetujui-dalam-mesyuarat-mmn-shamsul-anuar/

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links