BeritaNEM 3.0 Tawar Kuota 500MW

December 29, 2020
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/03/83330164_3199604483394790_1649920253205914812_n.jpg

PUTRAJAYA: Kerajaan meneruskan Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) menerusi pelancaran edisi ketiga, NEM 3.0 dengan tawaran kuota sebanyak 500 Megawatt (MW) bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata melalui program NEM 3.0, kerajaan akan memperkenalkan tiga inisiatif yang membuka peluang kepada semua pengguna elektrik memasang solar photovoltaic (PV) di bumbung bangunan masing-masing bagi menjimatkan bil elektrik mereka.

Beliau berkata, Program NEM 3.0 turut memperkenalkan inovasi baharu menggunakan konsep NEM maya dengan membenarkan pemilik bangunan komersial dan industri berkongsi lebihan tenaga dengan bangunan mereka di lokasi berlainan.

“Memandangkan hanya lima peratus permohonan di bawah Program NEM 2.0 adalah pengguna elektrik kategori domestik, Kementerian akan memperkenalkan Program NEM Rakyat bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna domestik menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemasangan solar PV.

“Program NEM Rakyat mengekalkan konsep ‘1 to 1 offset’ dengan kuota sebanyak 100MW atau sehingga kesemua kuota berkenaan habis.

“Program ini memberikan manfaat pengurangan bil elektrik kepada 10,000 hingga 25,000 pemilik akaun domestik TNB atau sekitar 40,000 hingga 100,000 isi rumah di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

NEM mula dilaksanakan pada 2016 dengan kuota sebanyak 500MW dan ianya sudah habis dipohon pada 27 November 2020.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, di bawah NEM Rakyat, pengguna akan menikmati kadar ‘offset 1 to 1’ selama 10 tahun dan seterusnya mendapat penjimatan bil elektrik melalui konsep ‘self-consumption’ selepas tamat tempoh itu.

“Permohonan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023,” katanya.

Sementara itu, bagi mengurangkan bil elektrik di premis kerajaan, beliau berkata, program NEM GoMEn (Government Ministries and Entities) akan diperkenalkan dengan kuota sebanyak 100MW.

Katanya, Program NEM GoMEn akan mengekalkan konsep ‘1 to 1 offset’ selama 10 tahun dan menggunakan konsep ‘self-consumption’ selepas tempoh berkenaan.

Shamsul Anuar berkata, bagi membantu pengguna bukan domestik daripada kategori komersial dan industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19 pula, satu inisiatif baharu iaitu Program NOVA (Net Offset Virtual Aggregation) akan diperkenalkan.

Jelasnya, program ini membolehkan usahawan, syarikat tempatan dan rumah ibadat menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan berdasarkan tiga elemen.

“Mendapatkan bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar PV yang dipasang di bumbung premis bangunan dan mengurangkan pembelian elektrik daripada syarikat utiliti.

“Menjual lebihan tenaga elektrik daripada sistem solar PV kepada sistem grid pada harga pasaran atau ‘System Marginal Price’ (SMP) sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik bulan berikutnya.

“Melakukan ‘offset’ lebihan tenaga elektrik melalui pengagihan secara maya,” katanya sambil menambah permohonan bagi Program NOVA akan dibuka mulai 1 April 2021 sehingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota habis diagihkan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/769975/nem-30-tawar-kuota-500mw

Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/116711/BERITA/Nasional/NEM-30-dilancarkan-tawar-kuota-500MW

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links