JunMajlis Penyampaian Watikah Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Dan Orang Asli

June 29, 2020

Teks Ucapan

MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN ORANG ASLI SEBAGAI RENJER HIDUPAN LIAR BAGI BIODIVERSITY PROTECTION AND PATROLLING PROGRAMME

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kerana menjemput saya hadir untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar bagi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP3) pada pagi ini.

2. Malaysia merupakan antara 17 buah negara yang paling kaya dengan flora dan fauna atau juga dikenali sebagai biodiversiti di mana hampir 70 peratus spesies yang diketahui di dunia terdapat di negara kita. Kepelbagaian hidupan ini memberi sumbangan yang besar kepada kehidupan manusia termasuk dalam memastikan bekalan air yang cukup dan bersih, penampan bencana alam, pendebungaan serta untuk kegunaan rekreasi.

3. Walau bagaimanapun, kekayaan hutan dan hidupan liar ini berisiko untuk pupus akibat tindakan tidak bertanggungjawab seperti aktiviti pembalakan haram dan pemburuan haram hidupan liar. Sekiranya jenayah ini tidak dikawal, ia boleh menjejaskan populasi hidupan liar termasuk kehilangan spesies Harimau Malaya buat selama-lamanya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam menjaga khazanah hutan dan hidupan liar di negara ini, saya komited untuk menerajui usaha bagi memastikan khazanah ini dipulihara, digunakan secara mampan serta faedah yang terhasil daripadanya dikongsi secara adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan negara pada masa kini dan masa depan.

5. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan PERHILITAN bagi melindungi kawasan perlindungan yang menjadi habitat hidupan liar. Usaha ini melibatkan kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri, agensi-agensi penguatkuasaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pelbagai kempen juga telah dijalankan dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negara termasuk Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020.

6. Sejak tahun 2001, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam membanteras pencerobohan kawasan perlindungan dan pemburuan haram hidupan liar melalui pelbagai operasi penguatkuasaan bersama iaitu Ops Jelai 1 hingga Ops Jelai 13, Ops Bintang Hijau dan Ops Bamboo. Kerjasama ini dipertingkatkan pada tahun 2014 hingga 2018 melalui program 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON).

7. Bagi menggantikan Program 1MBEON, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan Ops Belang dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan NGO. Pada tahun ini sahaja, OBK telah berjaya menangkap sebanyak 32 kes melibatkan 64 orang pesalah dengan nilai rampasan sebanyak RM636,600.00 dan sebanyak 433 jerat telah dimusnahkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti atau BP3 yang bermula secara rasmi pada 16 Jun 2020 adalah kesinambungan daripada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar di kawasan hotspot dalam kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia termasuk Taman Negara, Rizab Hidupan Liar, Taman Negeri, Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tapak RAMSAR.

9. Mulai tahun ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan diperkukuhkan lagi dengan pelantikan 100 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan 50 Orang Asli (OA) sebagai renjer hidupan liar secara Contract for Service (CFS). Selain menerima bayaran perkhidmatan secara bulanan, mereka juga diberi elaun dan kemudahan bertugas rasmi.

10. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan yang telah meluluskan peruntukan bagi melantik Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli serta Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang telah memberikan kerjasama penuh dalam membantu urusan pelantikan mereka.

11. Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli yang telah dilantik akan ditempatkan untuk bertugas di Taman Negara Pahang; Taman Negara Terengganu; Taman Negara Kelantan; Royal Belum, Perak; Taman Negara Endau Rompin Johor; Rezab Hidupan Liar Sungkai, Perak; Rezab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor; Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang; dan Taman Negara Pulau Pinang.

12. Saya dimaklumkan bahawa Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli yang terpilih telah menjalani kursus Latihan Asas pada 20 Jun 2020 hingga 29 Jun 2020 di Taman Negara Sungai Relau Pahang. Antara latihan yang diberikan ialah asas pengurusan risiko; polisi dan perundangan hidupan liar; operasi penguatkuasaan; pengurusan sempadan; pengurusan hidupan liar; inventori dan pemantauan; SMART Patrolling, pelaporan pentadbiran; dan jenayah hidupan liar.

13. Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli akan membantu melaksanakan tugas-tugas operasi kawalan sempadan dan smart patrolling di kawasan Taman Negara, Rizab Hidupan Liar, HSK dan pos kawalan sempadan; operasi penguatkuasaan secara teratur selaras dengan perundangan berkaitan dan prosedur kualiti; dan latihan ikhtiar hidup/survival, tempur tanpa senjata (TTS), asas pengunaan peralatan navigasi dan komunikasi.

14. Saya berkeyakinan pengalaman dan kepakaran Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli dapat meningkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar. Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli juga membuka peluang pekerjaan bagi meningkatkan lagi kesejahteraan komuniti Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

15. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan Program BP3. Saya menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras jenayah hidupan liar hingga ke akar umbi.

16. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacita merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli sebagai Renjer Hidupan Liar bagi Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3).

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI

29 JUN 2020

#KeTSA #lenggong #tnb #gerik #JPSM #Perhilitan

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links