BeritaLitupan Kawasan Berhutan Negara Bertambah 2.6 Peratus

May 4, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/05/20210317NSTPG017S1_1620108817.jpg

KUALA LUMPUR: Inisiatif berterusan negara berjaya meningkatkan litupan kawasan berhutan sebanyak 2.6 peratus sepanjang tahun 2005 sehingga 2018.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata berdasarkan laporan World Resources Institute (WRI), negara mencatatkan pengurangan kehilangan berhutan bagi tempoh empat tahun berturut-turut.

Katanya, peningkatan itu berikutan pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

“Inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan negara termasuk Central Forest Spine (CFS), Heartof Borneo (HoB), Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta Forest Landscape Restoration (FLR).

“Sehingga tahun 2018, Malaysia mempunyai 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Sesi Ke-16 Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFF) yang diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 26 sehingga 30 April lalu secara maya (virtual).

Turut menyertai forum itu adalah pegawai kanan kementerian atau agensi Kementerian Luar Negara; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak serta Pejabat Hasil Bumi dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Mengulas mengenai forum itu Shamsul Anuar berkata, UNFF adalah forum bagi membincangkan pembangunan dasar khususnya PHSB dan dialog secara berterusan di antara kerajaan serta organisasi antarabangsa dan pertubuhan berkaitan perhutanan lain.

Katanya, dalam mesyuarat itu Malaysia turut menegaskan pelbagai usaha sudah diambil dalam memenuhi komitmen semasa Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazil.

Selain itu katanya, Malaysia turut memaklumkan pencapaian di bawah pensijilan hutan menerusi Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC) dan Forest Stewardship Council (FSC).

Katanya, antara tahun 2010 hingga 2020, terdapat peningkatan 9.7 peratus jumlah keluasan hutan yang mendapat pensijilan MTCS.

“Sehingga kini, Malaysia mempunyai sejumlah 5.84 juta hektar kawasan hutan yang mendapat sijil itu,” katanya.

Beliau berkata, turut dibincangkan adalah Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 bagi menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan negara.

Katanya, Malaysia turut menekankan kepentingan akses kepada sumber kewangan, perkongsian teknologi dan pembangunan modal insan bagi mencapai pelaksanaan PHSB, khususnya untuk negara membangun dan menyumbang kepada pencapaian Global Forest Goals (GFG) di bawah United Nations Strategic Plan for Forests (UNSPF) 2017 sehingga 2030.

“Selain itu, Malaysia berpendirian bahawa laporan Global Forest Resources Assesment (FRA) sedia ada adalah mencukupi dan boleh dimanfaatkan untuk membekalkan maklumat dan analisis perhutanan di peringkat global.

“Negara tidak sewajarnya dibebankan dengan pelaporan baharu dan sokongan kewangan sedia ada seharusnya difokuskan kepada pengukuhan pelaksanaan PHSB,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, menerusi Agenda Monitoring, Assessment and Reporting (MAR,) Malaysia menegaskan kepentingan membangunkan keupayaan pengumpulan data supaya dapat menambahbaik sistem maklumat perhutanan.

Katanya, bagi mengukuhkan MAR, Food and Agriculture Organisation (FAO) sedang membangunkan set indikator pengurusan hutan global yang baharu.

“Justeru dalam hal ini, Malaysia menegaskan terdapat keperluan untuk mengadakan sesi semakan dan rundingan terhadap indikator berkenaan sebelum ia dimuktamadkan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/813528/bhplus

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/702214/litupan-kawasan-berhutan-negara-bertambah

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links