SeptemberLawatan Dan Mendengar Taklimat Di Pencawang Masuk Utama (PMU) Penampang

September 13, 2020

Kenyataan Media
YB DATO’ DR.SHAMSUL ANUAR NASARAH,
MENTERI TENAGA & SUMBER ASLI

1. Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kualiti dan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah dengan memastikan penjanaan elektrik yang mencukupi serta melaksanakan pengukuhan sistem penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah.

2. Sejak tahun 2001, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM26.4 bilion bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di negeri Sabah. Hasilnya, tempoh gangguan bekalan elektrik yang dialami oleh pengguna telah mengalami penurunan yang ketara sebanyak 63% dari tahun 2012 hingga 2019. Peruntukan ini termasuklah peruntukan sebanyak RM2.3 bilion dalam bentuk geran yang disalurkan mulai tahun 2015 bagi pelaksanaan sejumlah 57 projek penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Pelaksanaan projek-projek ini akan diteruskan sebagai projek sambungan di bawah RMK-12 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2022.

3. Projek-projek ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) yang telah ditubuhkan secara khusus di bawah Kementerian bagi menyokong projek-projek yang telah dilaksanakan oleh SESB sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan daya harap bekalan elektrik Sabah.

4. Saya juga ingin menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan terus komited dalam menyerahkan kuasa pembekalan elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah. Malah, Kerajaan Persekutuan telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan-perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menggerakkan usaha-usaha penyerahan kuasa pembekalan elektrik dan SESB kepada Kerajaan Negeri Sabah.

5. Kementerian juga telah meneliti pakej pengambilalihan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah selepas penubuhan kerajaan negeri yang baharu kelak. Saya akan memastikan bahawa proses penyerahan akan dilaksanakan dalam keadaan teratur dengan meletakkan kebajikan rakyat Sabah sebagai keutamaan.

6. Hari ini, saya mengadakan lawatan dan mendengar taklimat di Pencawang Masuk Utama (PMU) Penampang. Taklimat telah diberikan oleh Pemangku Pengarah PPKBES dan dihadiri oleh pegawai pegawai KeTSA serta turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Mineral & Geosains Sabah.

7. Projek pembinaan PMU Penampang ini adalah untuk menggantikan sistem voltan lama yang digunakan oleh SESB, iaitu pertukaran dari 66kV kepada 132kV yang lebih efisien. Projek ini dijangka siap pada bulan Mac 2021 dan dijangka berupaya mengurangkan gangguan bekalan elektrik serta membekalkan kapasiti tenaga yang lebih besar ke kawasan sekitar dengan kos senggaraan yang lebih optimum.

YB DATO’ DR.SHAMSUL ANUAR NASARAH,
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI.
12 September 2020

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links