BeritaKualiti, Nilai Produk Pelancongan Alam Semula Jadi Ditingkatkan

March 18, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/03/162048079_3982269408461623_7178033377478851295_o.jpg

LUMUT: Semua produk pelancongan dan rekreasi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan ditingkatkan kualiti dan nilainya agar mampu memberi pulangan kewangan kepada pihak pengendali serta mewujudkan industri hiliran khususnya kepada penduduk setempat.

Ia melibatkan kawasan hutan lipur, taman negara, taman negeri, geopark dan produk lain berkaitan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, berikutan itu pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Malaysia Book of Records (MBOR) bagi meningkatkan standard, kualiti serta pensijilan produk tersebut.

“Semalam saya mengadakan mesyuarat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memulihkan semua produk pelancongan di bawah kementerian agar ditingkatkan nilainya.

“Saya percaya banyak produk kita sebenarnya mempunyai nilai lebih tinggi daripada apa yang ada di negara lain, jadi kita hendak bekerjasama dengan badan yang dapat beri pengiktirafan, jadi nilainya akan meningkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taman Paya Bakau Bandar dan program menanam 100 batang pokok bakau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin; Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md. Salleh.

Menurut Shamsul Anuar, antara beberapa produk yang mempunyai nilai tinggi dan berjaya mewujudkan industri hiliran serta menarik ramai pengunjung ialah Taman Paya Laut Kuala Sepetang di Taiping, Kilim Geopark Langkawi serta Taman Negara Endau Rompin di Pahang.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata sejak 2005 sehingga tahun lalu, sebanyak 6.9 juta pokok bakau telah ditanam di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 1.2 juta pokok yang ditanam dilaksanakan di negeri Perak.

Katanya, sejak pelaksanaan program penanaman pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai negara pada tahun 2005 hingga 2020, sejumlah RM2.74 juta telah diperuntukan kepada Perak.

“Manakala pada tahun ini, sejumlah RM482,800 telah disalurkan kepada Jabatan Perhutanan Perak bagi meneruskan pelaksanaan program ini,” jelasnya.

Menurutnya, penanaman pokok bakau khususnya di taman paya bakau dapat mempertingkatkan lagi keupayaan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem dalam memastikan kelestarian alam semula jadi.

“Pelaksanaan aktiviti penanaman juga selari dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Januari lalu,” katanya. – UTUSAN

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2021/03/kualiti-nilai-produk-pelancongan-alam-semula-jadi-ditingkatkan/

Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/129034/EDISI/Perak/Tingkatkan-kualiti-produk-pelancongan-KeTSA-1.129034
Bernama: https://www.bernama.com/bm//news.php?id=1942797
Berita RTM: https://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/26115-kesta-miti-berusaha-tingkatkan-kualiti-dan-nilai-produk-pelancongan

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links