BeritaKeTSA Tingkatkan Usaha Lindungi Khazanah Alam

April 5, 2021
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2021/04/168635152_4036283506393546_2431738890264796378_n.jpg

LENGGONG: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) komited menerajui usaha bagi memastikan khazanah negara ini dipulihara.

Iltizam itu akan digerakkan menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) bagi menggantikan beberapa program terdahulu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata bagi mengukuhkan BP3, seramai 600 penguat kuasa dari kalangan Veteran Angkatan Tentera (VAT), veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Orang Asli dilantik di seluruh negara membabitkan peruntukan RM32 juta.

Katanya, pasukan BP3 akan bertugas di kawasan liputan penguatkuasaan habitat utama spesies Harimau Malaya di Semenanjung seluas 20,000 kilometer persegi dan kawasan ‘panas’ lain.

“Malaysia antara 12 negara paling kaya khazanah flora dan fauna bernilai tinggi dengan hampir 70 peratus spesies yang diketahui di dunia ada di negara ini.

“Kita mempunyai pelbagai akta bagi melindunginya.

“Namun kita juga mesti ada pasukan yang menjadi mata dan telinga kerajaan, terutama di kawasan panas, di taman negara, kawasan yang dikenal pasti sering berlaku pencerobohan seperti mencuri hidupan liar, memburu dan sebagainya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Menerusi program ini, kita kenal pasti kawasan panas dan peserta yang dilatih akan ditempatkan di kawasan berkenaan untuk membantu PERHILITAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada 291 VAT dan Orang Asli yang tamat kursus di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di Raban, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Hashim; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Angkatan Tentera Malaysia (JHEV), Datuk Dzulkarnain Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Profesor Dr Juli a/l Edo dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Hanis Musalmah Salehan.

Shamsul Anuar berkata, kekayaan hutan dan hidupan liar berisiko pupus akibat tindakan tidak bertanggungjawab seperti pembalakan dan pemburuan haram hidupan liar.

Jika tidak dikawal, katanya, ia boleh menjejaskan populasi hidupan liar, termasuk kehilangan spesies Harimau Malaya yang kini tinggal tidak lebih 150 ekor.

Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan KeTSA melalui PERHILITAN dengan kerjasama kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO), selain kempen kesedaran.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/803731/ketsa-tingkatkan-usaha-lindungi-khazanah-alam

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links