BeritaKeTSA Tidak Akan Keluar Sebarang Kelulusan Perlombongan Di Tasik Chini

June 20, 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan bagi aktiviti perlombongan di kawasan sensitif dan dipelihara termasuk di Tasik Chini, Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia termasuk kawasan pemeliharaan Hutan Simpan Kekal (HSK), kawasan rizab perlindungan dan kawasan yang diwartakan seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di kawasan terbabit.

“Bagi maksud ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan.

“Manakala kelulusan untuk kawasan selain daripada itu adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja yang selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berkata keluasan Hutan Simpanan Kekal Chini, Pekan akan diperluas daripada 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Tegas Shamsul Anuar lagi, kementeriannya sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha-usaha mempertahankan pengiktirafan dalam program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO bermula pada tahun 2009 itu.

Untuk itu, KeTSA tegasnya akan terus memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri Pahang.

“Diharapkan dengan adanya inisiatif daripada Kerajaan Negeri Pahang, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan.

“Pihak Sekretariat UNESCO Paris telah memberikan tempoh sehingga tahun 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.

“Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, program MAB UNESCO bermula pada 26 Mei 2009 mengiktiraf Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar.

Inisiatif ini melibatkan program saintifik antara kerajaan (inter-governmental) bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Antara komitmen Kerajaan Negeri Pahang ialah memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, mempergiatkan pemuliharaan kawasan Tasik Chini, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO dilaksanakan.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ketsa-tidak-akan-keluar-sebarang-kelulusan-perlombongan-di-tasik-chini-304118

Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1973888
Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/145324/BERITA/Nasional/KeTSA-henti-keluar-kelulusan-aktiviti-melombong-kawasan-diwartakan
Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/720391/nasib-tasik-chini-unesco-paris-beri-tempoh-hingga-2022
UMNO Online: https://umno-online.my/2021/06/20/ketsa-sokong-usaha-komitmen-kerajaan-pahang-pelihara-tasik-chini/
PN BBC Portal: http://www.pnbbcportal.com/2021/06/20/ketsa-sokong-usaha-kerajaan-pahang-pelihara-tasik-chini/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=ketsa-sokong-usaha-kerajaan-pahang-pelihara-tasik-chini
Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/pemuliharaan-holistik-hutan-simpan-chini/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pemuliharaan-holistik-hutan-simpan-chini

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links