BeritaKerajaan Komited Menjaga, Memulihara Hutan – Shamsul Anuar

December 18, 2020
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/07/600_7604-1280x854.jpg

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa mengukuhkan sinergi dengan kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan penjagaan dan pemuliharaan hutan.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata walaupun tiada sebarang peruntukan khas disediakan kepada kerajaan negeri sebagai pampasan untuk usaha penjagaan dan pemuliharaan hutan, Kerajaan Persekutuan secara puratanya memperuntukkan secara konsisten belanjawan pembangunan berjumlah RM1.54 bilion bagi memulihara hutan sejak 2010.

“Kerajaan Persekutuan juga memperkenalkan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) buat kali pertama pada 2019 dengan peruntukan RM60 juta bagi menggalakkan kerajaan negeri mewartakan kawasan perlindungan yang merupakan kawasan penting bagi perkhidmatan ekosistem termasuk sebagai kawasan tadahan air dan perlindungan hidupan liar.

“Peruntukan ini diagihkan kepada kerajaan-kerajaan negeri melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP),” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia “Negeri Yang Berkorban Jaga Hutan, Kawasan Tadahan Air Perlu Diberi Pampasan” yang diterbitkan semalam.

Shamsul Anuar berkata inisiatif EFT diteruskan pada 2021 dengan peruntukan RM70 juta sebagai insentif tambahan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

“Kerajaan negeri digalakkan untuk memberi penekanan kepada pengiktirafan hutan sebagai modal semula jadi dan hutan bukan kayu-kayan semata-mata.

“Kerajaan negeri perlu memperkukuhkan ‘unique selling proposition’ (USP) untuk Taman Negeri atau Hutan Lipur di bawah Jabatan Perhutanan Negeri masing-masing bagi memasarkan produk pelancongan bernilai tinggi secara lebih berkesan,” katanya.

Pada masa sama, katanya KeTSA akan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk meneroka pelbagai instrumen baharu kewangan bagi mendapatkan dana konservasi termasuk melalui mekanisme Pengurangan Emisi Penyahhutanan dan Degradasi Hutan serta Peranan Pemuliharaan, Pengurusan Hutan yang Lestari dan Peningkatan Stok Karbon Hutan di Negara Membangun (REDD Plus).

“Dalam hal ini, sektor swasta digalakkan untuk memainkan peranan yang lebih signifikan dalam menyediakan dana bagi pemuliharaan hutan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata KeTSA juga akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia mulai Jan 2021 melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk menambah litupan kawasan berhutan, memulihara biodiversiti serta meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/766581/kerajaan-komited-menjaga-memulihara-hutan-%E2%80%93-shamsul-anuar

Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/kerajaan-sentiasa-komited-menjaga-dan-memulihara-hutan/

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2021 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links