BeritaKenyataan Media: Repatriasi 9 Ekor Orang Utan Sumatera Ke Indonesia

December 17, 2020
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/12/toksam7.jpg

Kenyataan Media

REPATRIASI 9 EKOR ORANG UTAN SUMATERA KE INDONESIA
17 DISEMBER 2020

Repatriasi 9 ekor Orang utan Sumatera (Pongo abelii) ke Jakarta, Indonesia telah dilaksanakan pada 17 Disember 2020 bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Proses repatriasi melibatkan kerjasama antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK) Republik Indonesia.

Penghantaran pulang Orang utan Sumatera ini adalah obligasi negara di bawah peruntukan Artikel VIII, Teks Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Orang utan adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan liar 2010 [Akta 716]. Orang utan juga disenaraikan di bawah Apendiks I dalam Akta 686 di mana spesies ini tidak boleh diperdagangkan, sama ada diimport atau dieksport bagi tujuan komersial.

Jabatan PERHLITAN telah menerima 9 ekor Orang utan Sumatera hasil rampasan daripada beberapa aktiviti penguatkuasaan perdagangan haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia. 7 ekor daripadanya adalah hasil rampasan daripada 3 kes pada tahun 2018 dan 2019 oleh Jabatan PERHILITAN, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) yang diseludup masuk melalui jalan laut. Manakala 2 ekor lagi adalah daripada serahan kepada Jabatan PERHILITAN dan
aduan orang awam pada tahun 2018.

Kesemua Orang utan Sumatera tersebut ditempatkan di bawah jagaan Jabatan PERHILITAN di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak. Hasil ujian DNA oleh Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan Jabatan PERHILITAN, kesemua Orang utan tersebut telah disahkan berasal daripada spesies Pongo abelii (Sumatran orangutan). Sehubungan itu, Kerajaan Indonesia telah bersetuju untuk menerima repatriasi Orang utan ini ke Indonesia.

Kes-kes perdagangan haram Orang utan ini melibatkan 2 orang warganegara Malaysia dan 6 orang warganegara Indonesia. Siasatan kes-kes ini dijalankan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di mana bagi satu kes yang telah selesai penghakiman, pesalah yang terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 3 orang warganegara Indonesia telah dijatuhkan beberapa jenis hukuman yang berlainan seperti denda sehingga RM50,000 serta penjara selama 4 tahun.

Inisiatif Kerajaan Malaysia dalam memelihara kesemua Orang utan ini dan mengembalikannya kepada negara asal membuktikan komitmen tinggi pihak Kerajaan dalam menjaga kebajikan hidupan liar yang diseludup. Proses repatriasi yang dilaksanakan dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih berpanjangan khususnya di rantau ini adalah satu kejayaan unik buat pihak Kerajaan khususnya Kementerian ini.

Justeru, kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Indonesia dalam isu membanteras perdagangan haram dan kebajikan hidupan liar akan terus dipertingkatkan untuk memastikan kelestarian fauna khususnya spesies endemik seperti Orang utan.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyokong usaha Kerajaan Malaysia memerangi jenayah penyeludupan hidupan liar. Saya menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dengan melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN di 1800-88-5151.

YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli
Putrajaya
17 Disember 2020

https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
https://shamsulnasarah.com/wp-content/uploads/2020/10/logo_white1.png
Hakcipta Terpelihara © 2020 Shamsul Nasarah.
Contact
+605 767 9055
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, 52A, Jalan Alang Iskandar, 33400 Lenggong, Perak.
Popular Links